Monday 13 August 2012

Sosiolingustik


Definisi Sosiolinguistik



Menurut Dell Hymes (1996), sosiolinguistik ditakrifkan sebagai satu bidang yang menumpukan terhadap bahasa dalam konteks sosial dan kebudayaan. Dalam perspektif yang lebih luas, sosiolinguistik merupakan kajian tentang kesan seluruh aspek kehidupan manusia termasuklah nilai-nilai budaya, pencapaian dan konteks sesuatu bahasa itu digunakan. Cabang bidang kajian bahasa ini juga merupakan penyelidikan sesuatu bahasa itu berbeza antara kumpulan mengikut variasi sosial serta kaedah bahasa itu boleh digunakan bagi meletakkan individu tersebut dalam sesuatu kategori.



Sosiolinguistik berasal daripada dua patah perkataan, iaitu sosiologi dan linguistik. Sosiologi mencakupi hal-hal yang berkaitan dengan ilmu tentang segala macam jenis hal masyarakat dengan menyerap ilmu-ilmu sosial yang lain. Linguistik pula didefinisikan sebagai ilmu pengetahuan yang mengkaji soal bahasa dan juga merangkumi semua segi komunikasi manusia. Stork dan Widdowson (1983) menyatakan lingustik merupakan satu bidang kajian dan subjek khusus kajiannya ialah mengenai bahasa.



Para ahli bahasa mengkaji semua kebolehan manusia untuk berhubung sebagai pernyataan individu serta sebagai pusaka sepunya sesuatu komuniti bahasa. Selain itu, ahli-ahli bahasa juga mengkaji mengenai bunyi yang dituturkan serta teks yang ditulis oleh manusia melalui bahasa mereka.



Secara tuntasnya, Freeman (1972) mendefinisikan sosiolinguistik sebagai bidang kajian tentang sifat-sifat khusus bagi variasi bahasa, fungsi serta pemakaian bahasa dalam jalinan interaksi dan perubahan dalam penutur bahasa tersebut.



Konsep Sosiolinguistik



Terdapat juga konsep penting dalam sosiolinguistik yang perlu dititikberatkan oleh semua pengkaji bahasa.



Konsep pertama dikenali sebagai bahasa. Bahasa ialah alat yang digunakan oleh seseorang untuk melahirkan perasaan, kehendak, fikiran, pendapat dan sebagainya. Selain itu, bahasa juga merupakan alat yang diaplikasikan oleh ahli-ahli masyarakat untuk berkomunikasi antara anggota masyarakat. Menurut Ferdinan de Saussure (1959), beliau mengatakan bahasa merupakan seluruh sistem atau peraturan-peraturan bahasa dan keadaanya adalah abstrak. bahasa juga disifatkan sebagai alat perhubungan yang timbul secara arbitrari dalam sesebuah masyarakat.



Konsep seterusnya ialah komuniti bahasa. Komuniti bahasa merupakan kumpulan penutur yang mengiktiraf diri mereka sebagai penutur sesuatu bahasa yang tertentu. Alibinya, komuniti bahasa Melayu ialah penutur-penutur bahasa Melayu di Semenanjung, Sabah, Sarawak, Brunei, Singapura dan lain-lain kawasan di Nusantara yang mengguna pakai bahasa ini sebagai alat perhubungan atau wahana mobiliti sosial mereka. Selain itu, terdapat juga komuniti bahasa Cina. Kumpulan ini menuturkan bahasa Cina dan mengiktiraf diri sebagai penutur bahasa tersebut. Mereka terdiri daripada penutur dialek Hokkien, Kantonis, Mandarin, Hakka dan Hailam. Masyarakat India juga mengiktiraf diri mereka sebagai penutur mutlak kepada bahasa mereka dan dikenali sebagai komuniti bahasa Tamil. Komuniti ini menuturkan bahasa Urdu, Hindi dan lain-lain lagi.



Konsep yang terakhir ialah dialek. Menurut ahli-ahli antropologi, dialek didefinisikan sebagai satu bentuk bahasa pertuturan yang berkembang dan digunakan dalam ranah komunikasi masyarakat. Manakala, dalam kalangan ahli-ahli bahasa dan linguistik, dialek dikatakan berasal daripada perkataan Greek, dialektos yang menjurus kepada kepelbagaian ciri bahasa yang dituturkan oleh sekumpulan pengguna atau penutur sesuatu bahasa. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat pula, dialek ialah satu bentuk bahasa yang digunakan dalam sesuatu daerah atau oleh sesuatu kelas sosial berbeza daripada bahasa standard. Dialek juga dikatakan sebagai pelat daerah atau negeri dan loghat.



Halliday telah menjeniskan bahasa berdasarkan dua aspek, iaitu pengguna dan penggunaan. Menurut beliau, pengguna ialah orang yang menggunakan sesuatu bahasa didapati bahawa bahasa berbeza dari segi siapa-siapa yang menggunakannya, seperti perbezaan yang timbul antara cara orang Kelantan dan orang Perak dan sterusnya menggunakan bahasa. Penggunaan pula bermaksud kesesuaian jenis bahasa yang digunakan dengan keadaan atau situasi sewaktu bahasa itu digunakan.



Kamus Linguistik memberi maksud dialek sebagai kelainan bahasa yang berbeza dari segi sebutan, tatabahasa, dan kosa kata daripada bahasa baku. Dalam sesuatu bahasa yang mempunyai banyak dialek, satu daripada dialek-dialek ini dipilih sebagai variasi yang digunakan oleh semua penutur untuk berhubung. Variasai bahasa Melayu ini disebut sebagai variasi bahasa umum atau bahasa standard atau bahasa baku.



Menurut Meilet (1967), dialek seperingkat bentuk ujaran setempat yang berbeza-beza, yang memiliki ciri-ciri umum dan masing-masing lebih mirip sesamanya dibandingkan dengan bentuk ujaran lain daripada bahasa yang sama dan tidak harus mengambil semua bentuk ujaran daripada semua bahasa.




Dialek juga boleh dikenal pasti dalam dua bentuk. Bentuk yang pertama ialah dialek baku. Dialek baku ialah dialek yang didukung dan diiktiraf oleh pemerintah dengan menjadikannya sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi sesebuah negara. Manakala, bentuk kedua dikenali sebagai dialek tidak baku. Dialek tidak baku diertikan sebagai bahasa yang tidak mendapat dukungan dan diiktiraf oleh kerajaan sesebuah negara.



Faktor Kewujudan Dialek



Mangantan Simanjuntak dalam bukunya, Aspek Bahasa dan Pengajaran, beliau mentakrifkan dialek sebagai satu variasi bahasa yang digunakan oleh sekumpulan manusia yang tinggal di satu kawasan geografi tertentu. Beliau juga menggariskan istilah geografi sebagai bukan menjurus kepada geografi politik secara tegas, bahkan kepada geografi linguistik yang disebut sebagai isoglos atau sempadan linguistic Selain itu, dialek juga wujud melalui faktor politik. Faktor politik telah membahagikan negara ini kepada unit-unit politik yang lebih kecil sehingga mewujudkan negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Terengganu dan Kelantan. Hal ini secara tidak langsung mengatakan bahawa salah satu ukuran bagi menentukan taraf kemajuan ialah menerusi jumlah laras yang wujud dalam bahasa berkenaan.



Dalam beberapa buku sosiolinguistik, laras bahasa terbahagi kepada lima jenis laras bahasa. Hal tersebut terdiri daripada laras bahasa cerpen, laras bahasa agama, laras bahasa puisi, laras bahasa ekonomi dan laras bahasa iklan. Dalam buku Siri Pendidikan Guru Bahasa Melayu 2, laras bahasa terbahagi kepada tujuh, setelah menerima penambahan beberapa laras bahasa yang lain, iaitu laras bahasa sains, laras bahasa undang-undang dan laras bahasa matematik.



Menurut Profesor Emeritus Abdullah Hassan, beliau merumuskan dialek sosial berubah bukan sahaja menurut daerah geografi tetapi juga melalui perbezaan golongan sosial. Perbezaan golongan sosial ini juga dikatakan sebagai perbezaan standard taraf hidup antara manusia seperti golongan raja, pemerintah dan golongan bawahan.



Dalam hal yang lain juga, dialek sosial juga dipengaruhi perbezaan pendidikan. Pendidikan juga sangat memainkan peranan yang penting bagi menentukan taraf kehidupan sosial seseorang dalam kalangan masyarakat setempat. Selain itu, perbezaan pekerjaan dan profesion turut diserap dan dikenali sebagai sebahagian daripada dialek sosial. Hal ini demikian kerana setiap profesion dan bidang kerjaya mempunyai perbezaan struktur dan taraf sosial yang tersendiri. Alibinya, profesion guru mempunyai taraf sosial yang tersendiri berbanding kerjaya- kerjaya



Faktor Kewujudan Dialek Sosial



Terdapat beberapa faktor yang menentukan pemilihan dan penggunaan sesuatu dialek sosial dalam sesebuah masyarakat



Antaranya ialah faktor taraf pendidikan yang berbeza. Orang yang mempunyai pendidikan yang tinggi menggunakan laras bahasa yang berbeza daripada orang-orang yang tidak berpendidikan atau hanya mempunyai taraf pendidikan yang rendah. Pertuturan dan perbendaharaan kata antara kedua-dua golongan ini juga mempunyai perbezaan.




Selain itu, faktor kedudukan sosial turut mempengaruhi berlakunya dialek sosial dalam kalangan masyarakat. Dalam bahasa Melayu, kawasan tempat tinggal tidaklah menjadi faktor pembeza yang besar dalam membahagikan penutur-penutur kepada kelas-kelas sosial yang tertentu. Pada amnya, bahasa Melayu terbahagi kepada dua kelas sosial, iaitu bahasa istana atau bahasa dalam dan bahasa luar istana. Perbezaan yang nyata antara kedua-dua laras bahasa ini hanyalah dari segi perbendaharaan kata sementara aspek morfologi, sintaksis dan fonologinya tidak banyak perbezaan.



Faktor latar belakang keluarga dan tempat tinggal juga menyebabkan terjadinya dialek sosial dalam masyarakat. Cara pertuturan seseorang yang datang dari keluarga yang berkedudukan tinggi adalah berbeza daripada cara pertuturan orang yang datang dari keluarga yang kurang mampu. Begitu juga halnya dengan orang yang datang dari kawasan tempat tinggal berlainan. Misalnya, laras bahasa yang digunakan oleh seseorang yang latar tempat tinggalnya di bandar dengan laras bahasa yang digunakan oleh penutur yang tinggal di desa. Perbezaan itu amat ketara dari segi perbendaharaan kata.



Gangguan dalam berbahasa juga merupakan faktor terjadinya dialek sosial. Gangguan berbahasa yang dimaksudkan ialah gangguan bahasa ibunda dan dialek daerah. Laras bahasa Melayu yang dituturkan oleh orang Cina berbeza dengan laras bahasa yang dituturkan oleh orang India. Melalui laras bahasa yang digunakan oleh seseorang itu, kita dapat meneka dan mengagak bahasa ibunda yang dikuasai olehnya. Begitu juga halnya dengan laras bahasa standard yang diucapkan oleh orang Perak adalah berbeza dengan laras bahasa standard yang diucapkan oleh orang Johor. Dengan ini, kita dapat mengetahui dialek daerah yang dikuasai oleh seseorang itu.



Sementelahan, fungsi-fungsi sosial perlakuan bahasa turut menjadi de factor kepada dialek sosial. Terdapat beberapa aspek dalam fungsi-fungsi sosial perlakuan bahasa. Perlakuan-perlakuan bahasa diperlukan kerana bahasa ialah sebahagian dariapda perlakuan sosial, misalnya bahasa untuk menghasilkan sesuatu maksud atau perasaan, memberi arahan, meminta dan sebagainya. Dalam tiap-tiap situasi sosial, terdapat penggunaan bahasa yang berlainan, dihasilkan oleh interaksi seperti perbualan, orang-orang yang terlibat dalam perbualan serta peranan terhadap situasi-situasi dalam masyarakat.



Dialek sosial juga dipengaruhi faktor aspek-aspek linguistik bahasa tersebut. Ciri-ciri linguistik dapat dilihat daripada beberapa dimensi. Pada satu pihak ciri-ciri linguistik berkait rapat dengan faktor-faktor sosial. Pada pihak yang lain pula ialah sifat-sifat bahasa itu sendiri membawa perubahan yang antara lain mencakupi aspek-aspek kehadiran atau ketidakhadiran sesuatu ciri, keseringan kehadiran dan susunan-susunan struktur tertentu. Pada amnya, terdapat dua perkara yang membezakan laras-laras yang berkait dengan linguistik, iaitu tatabahasa dan perbendaharaan kata. Walau bagaimanapun, perbezaan antara laras bahasa itu tidaklah terlalu jauh hingga boleh menimbulkan katidakfahaman antara penuturnya. Unsur faham-memahami masih kuat dan kukuh kecuali dari segi pengunaan istilah-istilah dan perkataan-perkataan tertentu yang mempunyai pengertian yang khusus. perbualan, orang-orang yang terlibat dalam perbualan serta peranan terhadap situasi-situasi dalam masyarakat.



Akhir sekali, dialek sosial juga dipengaruhi faktor aspek-aspek linguistik bahasa tersebut. Ciri-ciri linguistik dapat dilihat daripada beberapa dimensi. Pada satu pihak ciri-ciri linguistik berkait rapat dengan faktor-faktor sosial. Pada pihak yang lain pula ialah sifat-sifat bahasa itu sendiri membawa perubahan yang antara lain mencakupi aspek-aspek kehadiran atau ketidakhadiran sesuatu ciri, keseringan kehadiran dan susunan-susunan struktur tertentu. Pada amnya, terdapat dua perkara yang membezakan laras-laras yang berkait dengan linguistik, iaitu tatabahasa dan perbendaharaan kata. Walau bagaimanapun, perbezaan antara laras bahasa itu tidaklah terlalu jauh hingga boleh menimbulkan katidakfahaman antara penuturnya. Unsur faham-memahami masih kuat dan kukuh kecuali dari segi pengunaan istilah-istilah dan perkataan-perkataan tertentu yang mempunyai pengertian yang khusus.

2 comments:

  1. payahnya tulisan.....

    ReplyDelete
  2. Penerangan yang cukup jelas dan mudah untuk difahami. Tetapi, saya memerlukan sumber rujukan yang cikgu gunakan dalam penulisan ini.

    ReplyDelete