Monday 13 August 2012

SEJARAH DAN ASAL USUL BAHASA DAN BANGSA MELAYU

Asal Usul Bahasa Melayu

Asal usul perkataan Melayu masih belum dapat disahkan oleh sejarawan. Bagaimanapun terdapat beberapa bukti sejarah yang cuba mengaitkan asal-usul bahasa Melayu, seperti mana berikut:

1. Catatan orang China yang menyatakan bahawa sebuah kerajaan Mo-lo-yeu mempersembahkan hasil bumi kepada raja China sekitar 644-645 Masihi.Dikatakan orang Mo-lo-yeu mengirimkan Utusan ke negara China untuk mempersembahkan hasil-hasil bumi kepada raja China.


2. Ada yang mempercayai kerajaan Mo-lo-yeu berpusat di daerah Jambi, Sumatera , daripada sebatang sungai yang deras alirannya, iitu Sungai Melayu.


3. Satu lagi catatan orang China ialah catatan rahib Buddha bernama I-Tsing yang menggunakan kata ma-lo-yu tentang dua buah kerajaan yang dilawatinya sekitar 675 Masihi.


4. Dalam bahasa Jawa Kuno, perkataan ``Mlayu'' bermaksud berlari atau mengembara. Hal ini boleh dipadankan dengan orang Indo-Melayu (Austonesia) yang bergerak dari Yunan.


Asal Usul Bangsa Melayu


Asal usul bangsa melayu dipercayai berasal daripada golongan Austronesia di Yunan.Kumpulan pertama ini dikenali sebagai Melayu Proto.Kumpulan ini kemudianya berpindah ke Asia Tenggara pada Zaman Batu Baru (2500 Sebelum Masihi).Contoh keturunan Melayu Proto yang masih kekal sehingga hari ini seperti keturunannya Orang Asli di Semenanjung Malaysia, Dayak di Sarawak dan Batak di Sumatera.


Kemudian muncul pula kumpulan kedua.Kumpulan kedua ini dikenali sebagai Melayu Deutro.Kumpulan ini berpindah ke Asia Tenggara pada Zaman Logam kira-kira 1500 Sebelum Massihi.Keturunannya orang Melayu di Malaysia.Kumpulan ini dikatakan lebih bijak dan dan mahir daripada Melayu Proto.Melayu Deutro dikatakan bijak dalam bidang astronomi, pelayaran dan bercucuk tanam.Bilangan Melayu Deutro lebih banyak daripada Melayu Proto.Kebanyakkan masyarakat melayu deutro inimenduduki kawasan pantai dan lembah di Asia Tenggara.Mereka, kumpulan pertama (Melayu Proto) dan kedua (Melayu Deutro), dikenali sebagai Austronesia.Bahasa-bahasa yang terdapat di Nusantara sekarang berpunca daripada bahasa Austronesia ini.


Nik Safiah Karim menerangkan bahawa bahasa Austronesia ialah satu rumpun bahasa dalam filum bahasa Austris bersama-sama dengan rumpun bahasa Austroasia dan Tibet-China (rujuk carta alir di atas).Bahasa Melayu termasuk dalam bahasa-bahasa Golongan Sumatera bersama-sama dengan bahasa-bahasa Acheh, Batak, Minangkabau, Nias, Lampung dan Orang Laut.

Perkembangan Bahasa Melayu


Ahli bahasa membahagikan perkembangan bahasa Melayu kepada tiga tahap utama iaitu:
Bahasa Melayu Kuno,
Bahasa Melayu Klasik dan
Bahasa Melayu Moden.

Bahasa Melayu Kuno

Bahasa Melayu Kuno merupakan keluarga bahasa Nusantara.Kegemilangannya bermula dari abad ke-7 hingga abad ke-13 pada zaman kerajaan Srivijaya, sebagai lingua franca dan bahasa pentadbiran.kebanyakkan penuturnya di Semenanjung, Kepulauan Riau dan Sumatera.Bhasa Melayu Kuno menjadi lingua franca dan sebagai bahasa pentadbiran kerana:
Bersifat sederhana dan mudah menerima pengaruh luar.
Tidak terikat kepada perbezaan susun lapis masyarakat
Mempunyai sistem yang lebih mudah berbanding dengan bahasa Jawa.

Bahasa ini banyak dipengaruhi oleh sistem bahasa Sanskrit. Bahasa Sanskrit kemudian dikenal pasti sebagai penyumbang kepada pengkayaan kosa kata dan ciri-ciri keilmuaan (kesarjanaan) Bahasa Melayu.Bahasa Melayu mudah dipengaruhi Sanskrit kerana:
Pengaruh agama Hindu
Bahasa Sanskrit terletak dalam kelas bangsawan, dan dikatakan mempunyai hierarki yang tinggi.
Sifat bahasa Melayu yang mudah dilentur mengikut keadaan dan keperluan.

  1. Bahasa Melayu kuno pada batu-batu bersurat abad ke-7 yang ditulis dengan huruf Pallawa: 
  2. Batu bersurat di Kedukan Bukit, Palembang (683 M) 
  3. Batu bersurat di Talang Ruwo, dekat Palembang (684 M) 
  4. Batu bersurat di Kota Kampur, Pulau Bangka (686 M) 
  5. Batu bersurat di Karang Brahi, Meringin, daerah Hulu Jambi (686 M) 

Bahasa Melayu kuno pada batu bersurat di Gandasuli, Jawa Tengah (832 M) ditulis dalam huruf Nagiri.




Ciri-ciri bahasa Melayu kuno: 

  • Penuh dengan kata-kata pinjaman Sanskrit 
  • Susunan ayat bersifat Melayu 
  • Bunyi b ialah w dalam Melayu kuno (Contoh: bulan - wulan) 
  • bunyi e pepet tidak wujud (Contoh dengan - dngan atau dangan) 
  • Awalan ber- ialah mar- dalam Melayu kuno (contoh: berlepas-marlapas) 
  • Awalan di- ialah ni- dalam bahasa Melayu kuno (Contoh: diperbuat - niparwuat) 
  • Ada bunyi konsonan yang diaspirasikan seperti bh, th, ph, dh, kh, h (Contoh: sukhatshitta) 
  • Huruf h hilang dalam bahasa moden (Contoh: semua-samuha, saya: sahaya) 



Peralihan Bahasa Melayu Kuno Ke Bahasa Melayu Klasik

Peralihan ini dikaitkan dengan pengaruh agama Islam yang semakin mantap di Asia Tenggara pada abad ke-13.Selepas itu, bahasa Melayu mengalami banyak perubahan dari segi kosa kata, struktur ayat dan tulisan.Terdapat tiga batu bersurat yang penting:

1. Batu bersurat di Pagar Ruyung, Minangkabau (1356)
ditulis dalam huruf India mengandungi prosa melayu kuno dan beberapa baris sajakm Sanskrit.
bahasanya berbeza sedikit daripada bahasa batu bersurat abad ke-7.

2. Batu bersurat di Minye Tujuh, Acheh (1380)
masih memakai abjad India buat pertama kalinya terdapat penggunaan kata-kata Arab seperti kalimat nabi, Allah dan rahmat

3. Batu bersurat di Kuala Berang, Terengganu (1303-1387)
ditulis dalam tulisan Jawi membuktikan tulisan Arab telah telah digunakan dalam bahasa Melayu pada abad itu.

Ketiga-tiga batu bersurat ini merupakan bukti catatan terakhir perkembangan bahasa Melayu kerana selepas abad ke-14, muncul kesusasteraan Melayu dalam bentuk tulisan.

Bahasa Melayu Klasik

Kegemilangannya boleh dibahagikan kepada tiga zaman penting:
 
Zaman kerajaan Melaka
Zaman kerajaab Acheh
Zaman kerajaan Johor-Riau

Antara tokoh-tokoh penulis yang penting ialah Hamzah Fansuri, Syamsuddin al-Sumaterani, Syeikh Nuruddin al-Raniri dan Abdul Rauf al-Singkel.

Ciri-ciri bahasa klasik: 

  1. ayat: panjang, berulang, berbelit-belit. 
  2. banyak ayat pasif 
  3. menggunakan bahasa istana 
  4. kosa kata klasik: ratna mutu manikam, edan kesmaran (mabuk asmara), sahaya, masyghul (bersedih) 
  5. banyak menggunakan perdu perkataan (kata pangkal ayat): sebermula, alkisah, hatta, adapun. 
  6. ayat songsang 
  7. banyak menggunakan partikel ``pun'' dan `'lah'' 

Bahasa Melayu Moden

Bahasa Melayu Moden bermula pada abad ke-19. Hasil karangan Munsyi Abdullah dianggap sebagai permulaan zaman bahasa Melayu moden.Sebelum penjajahan Beritish, bahasa Melayu mencapai kedudukan yang tinggi, berfungsi sebagai bahasa perantaraan, pentadbiran, kesusasteraan, dan bahasa pengantar di pusat pendidikan Islam.Nmaun selepas Perang Dunia Kedua, British merubah dasar menjadikan bahasa Inggeris sebagai pengantar dalam sistem pendidikan.Walaubagaimanapun,semasa Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, Perlembagaan Persekutuan Perkara 152 menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara. Laporan Razak atau lebih dikenali sebagai Penyata Razak 1956 mencadangkan bahasa Melayu sebagai pengantar dalam sistem pendidikan negara.
ASAL USUL BAHASA MELAYU

Untuk mengetahui asal usul bahasa Melayu kita perlu mengetahui asal-usul penutur aslinya terlebih dahulu, iaitu orang Melayu. Asal-usul bangsa Melayu sehingga kini masih kabur. Akan tetapi beberapa sarjana Eropah seperti Hendrik Kern (Belanda) dan Robert von Heine Geldern (Austria) telah melakukan penyelidikan secara kasar latar belakang dan pergerakan masyarakat Melayu kuno.


Teori mereka menyatakan bahawa bangsa Melayu berasal daripada kelompok Austronesia, iaitu kelompok manusia yang berasal dari daerah Yunan di China yang kemudiannya berhijrah dalam bentuk beberapa gelombang pergerakan manusia dan akhirnya menduduki wilayah Asia Tenggara.


Gelombang pertama dikenali sebagai Melayu-Proto dan berlaku kira-kira 2500 tahun Sebelum Masihi

Kira-kira dalam tahun 1500 tahun sebelum masihi, datang pula gelombang kedua yang dikenali sebagai Melayu-Deutro. Mereka mendiami daerah-daerah yang subur di pinggir pantai dan tanah lembah Asia Tenggara. Kehadiran mereka ini menyebabkan orang-orang Melayu-Proto seperti orang-orang Jakun, Mahmeri, Jahut, Temuan, Biduanda dan beberapa kelompok kecil yang lain berpindah ke kawasan pedalaman. Justeru, Melayu-Deutro ini merupakan masyarakat Melayu yang ada pada masa kini.

Bahasa Melayu berasal daripada rumpun bahasa Austronesia, manakala bahasa-bahasa Austronesia ini berasal daripada keluarga bahasa Austris. Selain daripada rumpun bahasa Austronesia, rumpun bahasa Austro-Asia dan rumpun bahasa Tibet-Cina.

Rumpun bahasa Austronesia ini pula terbahagi kepada empat kelompok yang lebih kecil :

1. Bahasa-bahasa Kepulauan Melayu atau Bahasa Nusantara.

Contoh : bahasa Melayu, Aceh, Jawa, Sunda, Dayak, Tagalog, Solo, Roto, Sika dan lain-lain.


2. Bahasa-bahasa Polinesia

Contoh : bahasa Hawaii, Tonga, Maori, Haiti

3. Bahasa-bahasa Melanesia

Contoh : bahasa-bahasa di Kepulauan Fiji, Irian and Kepulaun Caledonia

4. Bahasa-bahasa Mikronesia

Contoh : bahasa-bahasa di Kepulauan Marianna, Marshall, Carolina dan Gilbert.

Bahasa Melayu tergolong dalam cabang bahasa-bahasa Nusantara yang mempunyai bahasa yang paling banyak, iaitu kira-kira 200 hingga 300 bahasa.

Bentuk Bahasa Melayu yang dituturkan di Kepulauan Melayu pada zaman dahulu dikenali sebagai bahasa Melayu kuno dan jauh berbeza dengan bahasa Melayu yang moden. Bentuk bahasa Melayu kuno hanya dapat dilihat melalui kesan tinggalan sejarah seperti batu-batu bersurat. Batu-batu bersurat yang menggunakan bahasa Melayu dipercayai ditulis bermula pada akhir abad ke-7. Sebanyak empat batu bersurat telah dijumpai yang mempunyai tarikh tersebut : 

  • Batu Bersurat Kedukan Bukit (683 M) - Palembang 
  • Batu Bersurat Talang Tuwo (684 M) – Palembang 
  • Batu Bersurat Kota Kapor (686 M) – Pulau Bangka, Palembang 
  • Batu Bersurat Karang Brahi (686 M) – Palembang 

Berpandukan isinya, penulisan di batu bersurat tersebut dibuat atas arahan raja Srivijaya, sebuah kerajaan yang mempunyai empayar meliputi Sumatera, Jawa, Semenanjung Tanah Melayu, Segenting Kra dan Sri Lanka. Oleh itu, ini menunjukkan bahawa bahasa Melayu telah digunakan sebagai bahasa rasmi dan bahasa pentadbiran kerajaan Srivijaya, sekaligus meluaskan penyebaran bahasa Melayu ke tanah jajahan takluknya . Walaupun bahasa pada batu bersurat itu masih berbahasa Sanskrit, akan tetapi masih terdapat pengaruh bahasa Melayu kuno di dalamnya.

Istilah “Melayu” timbul buat pertama kali dalam tulisan Cina pada tahun 644 dan 645 masihi. Tulisan ini menyebut mengenai orang “Mo-Lo-Yue” yang mengirimkan utusan ke Negeri China untuk mempersembahkan hasil-hasil bumi keada Raja China. Letaknya kerajaan “Mo-Lo-Yue” ini tidak dapat dipastikan dengan tegas. Ada yang mencatatkan di Semenanjung Tanah Melayu dan di Jambi, Sumatera.

Selain daripada empat batu bersurat yang disebutkan tadi, terdapat juga bahan-bahan lain yang dihasilkan dalam zaman kerajaan Srivijaya pada abad ke-7 hingga ke-13 Masehi :

1. Batu Bersurat Gandasuli (832 M) – Gandasuli, Jawa Tengah

2. Sebuah batu bersurat yang dijumpai di Bangkahulu bertarikh 1000 Masehi.

3. Sebuah patung gangsa yang dijumpai di Padang Lawas, Tapanuli bertarikh 1029 M dengan tulisan pada kaki alasnya

4. Sebuah patung di Padang Rocore, Batanghari bertarikh 1286 M dengan catatan perkataan “Malaya” atau “Melayu” pada bahagian belakangnya.

PERKEMBANGAN BAHASA MELAYU

Bahasa Melayu (Abad ke-13 hingga 18 Masihi)

Pada zaman ini tiga buah batu bersurat yang menunjukkan perkembangan bahasa Melayu telah dijumpai :

1. Batu Bersurat Pagar Ruyong, Minangkabau (1356 M) – ditulis dalam tulisan India dan memperlihatkan pengaruh Bahasa Sanskrit.

2. Batu Nisan di Minye Tujuh, Acheh (1380 M) – juga ditulis dalam tulisan India dengan beberapa perkataan Arab

3. Batu Bersurat Terengganu – dijumpai di Sungai Teresat, Kuala Berang Terengganu. Tarikh sebenar tidak dapat dipastikan, tetapi ia dipercayai ditulis antara tahun 1303 M hingga 1387 M. Ia ditulis dalam tulisan Jawi.

Abad ke –13 adalah waktu bermulanya zaman peralihan di Kepulauan Melayu dengan berkembangnya agama Islam ke rantau ini. Ini telah mempengaruhi bangsa dan bahasa di sini, terutamanya bangsa dan bahasa Melayu. Pengaruh India sedikit demi sedikit mula digantikan dengan pengaruh Islam dan Arab.

Zaman penting bagi bahasa Melayu ialah pada zaman Kerajaan Melayu Melaka. Kerajaan Melayu Melaka yang telah menerima Islam dan berjaya membina empayar yang luas telah dapat meningkatkan kemajuan dan perkembangan bahasa Melayu di rantau ini. Bahasa Melayu telah digunakan dalam pentadbiran dan aktiviti perdagangan serta menjadi “lingua franca” para pedagang. Bahasa Melayu juga telah menjadi alat penyebaran agama Islam ke seluruh Kepulauan Melayu. Bahasa Melayu telah mendapat bentuk tulisan baru iaitu tulisan Jawi. Perbendaharaan kata juga telah bertambah dengan wujudnya keperluan untuk mengungkapkan idea-idea yang dibawa oleh peradaban Islam. Keagungan Kesultanan Melaka jelas tergambar di dalam “Sejarah Melayu” oleh Tun Seri Lanang, sebuah karya dalam bahasa Melayu yang sangat tinggi nilainya.

Kedatangan orang-orang Eropah dan kejatuhan Kesultanan Melaka ke tangan Portugis pada tahun 1511 masihi tidak menamatkan pengaruh bahasa Melayu. Ramai di antara mereka yang menjalankan penyelidikan dan menyimpan catatan mengenai bahasa dan kesusasteraan Melayu. Beberapa contoh usaha mereka ialah :

1. Pigafetta, seorang ketua kelasi berbangsa Itali dalam pelayarannya bersama Magellan, telah menyusun kamus Melayu-Itali semasa singgah di Pulau Tidore pada tahun 1521. Ia merupakan daftar kata daripada bahasa yang dituturkan oleh orang-orang di pelabuhan itu dengan lebih 400 patah perkataan dan adalah daftar kata Melayu-Eropah yang tertua. Kedudukan Pulau Tidore yang terletak jauh daripada tempat asal bahasa Melayu menggambarkan betapa luasnya bahasa Melayu tersebar.

2. Jan Hugen Van Linschotten, seorang bangsa Belanda pernah tinggal di Indonesia antara tahun 1586 hingga 1592 dan berkhidmat sebagai pegawai kepada pemerintah Portugis. Beliau ada mencatatkan dalam bukunya bahawa bahasa Melayu dianggap sebagai bahasa yang paling dihormati antara bahasa-bahasa negeri timur.
3. Pada awal abad ke-18, Francios Valentijn, seorang pendeta dan ahli sejarah bangsa Belanda yang banyak menulis mengenai wilayah Kepulauan Melayu, telah menggambarkan kepentingan bahasa Melayu seperti berikut :

“Bahasa mereka, bahasa Melayu, bukan sahaja dituturkan di daerah pinggir laut, tetapi juga digunakan di seluruh Kepulauan Melayu dan di segala negeri-negeri timur, sebagai suatu bahasa yang difahami di mana-mana sahaja oleh setiap orang.”

Satu bukti tentang tingginya martabat bahasa Melayu dan luas penggunaannya di wilayah ini adalah pada surat-menyurat antara pentadbir dan raja-raja di Kepulauan Melayu. Antaranya ialah :

1. Surat Sultan Acheh kepada Kapitan Inggeris, James Lancester (1601)

2. Surat Sultan Alauddin Shah dari Acheh kepada Harry Middleton (1602)

3. Surat Sultan Acheh kepada raja Inggeris, King James (1612)

Ketiga-tiga surat ini tersimpan di Perpustakaan Bodelein, London

Dalam abad ke-17, terdapat banyak usaha oleh sarjana-sarjana Eropah untuk menyusun kamus dan daftar kata, yang kemudiannya diteruskan kepada bidang morfologi, sintaksis dan fonologi.

Tokoh-tokoh tempatan juga tidak ketinggalan memberikan sumbangan. Kebanyakan usaha mereka berkisar tentang agama dan sastera. Palembang dan Acheh telah telah menggantikan Melaka sebagai pust keintelektualan Melayu. Antara tokoh-tokoh di Acheh ialah :

1. Sheikh Nuruddin Al-Raniri (“Bustanul Salatin”)

2. Shamsuddin Al-Sumaterani (“Mirat Al-Mukmin”)

3. Abdul Rauf Singkel (“Mirat Al-Tullab”)

4. Hamzah Fansuri (“Syair Perahu”)

Di Palembang pula terdapat Abdul Samad Al-Falambani dengan kitab “Hikayat Al-Salakin”.

Selain daripada Acheh dan Palembang, beberapa tokoh juga muncul di tempat-tempat lain. Di Brunei, Pengiran Syahbandar Muhammad Salleh (Pengiran Indera Muda) telah menghasilkan “Syair Rakis”, manakala di Banjarmasin pula terkenal dengan Arshad Al-Banjari dengan kitab “Sabil Al-Muhtadin”. Sheikh Mohd Ismail Daud Al-Fatani di Pattani pula menghasilkan “Matla’al Badrain” dan “Furu’ Al-Masail”

Bahasa Melayu (Abad ke-19 dan 20 Masihi)

Kemuncak kegiatan alam persuratan Melayu melalui bahasa Melayu dan tulisan Jawi adalah di Penyengat, sebuah pulau di Kepulauan Riau yang menjadi sebahagian daripada Kerajaan Johor-Riau. Di sinilah dari abad ke 19 hingga awal abad ke 20, tertumpunya kegiatan keintelektualan Melayu-Islam dan perkembangan bahasa Melayu selanjutnya.

Banyak karya serta kitab diterbitkan di pulau ini, seperti kitab “Al-Hakim” oleh Tajuddin Abdul Fadzil Ahmad ibn Abdul Karim (1863 M) dan “Sabil Al-Hidayat” oleh Sayyed Aluwi Ba’aluwi (1899 M)

Hasil penulisan yang terkenal dan terpenting dalam dunia persuratan Melayu ialah karya Raja Ali Haji, iaitu “Bustan Al-Katibin” (1857 M), “Pengetahuan Bahasa” (1859 M), “Salasilah Melayu dan Bugis” (1865 M) dan “Tuhfat Al-Nafis” (1865 M). Pada masa itu juga di Johor terdapat beberapa hasil penulisan seperti “Hikayat Negeri Johor” dan “Kitab Pemimpin Johor”.

Kerajaan Melayu Johor-Riau terus menjadi pusat pengembangan bahasa Melayu sehingga ia menjadi bahasa persatuan di seluruh Nusantara.

Sebelum Inggeris bertapak di Semenanjung Tanah Melayu, bahasa Melayu menjadi satu-satunya bahasa perantaraan bagi penduduk negara ini. Bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa pentadbiran di semua pusat pemerintahan dan menjadi bahasa pengantar di institusi pendidikan yang ada pada ketika itu seperti pusat pengajian Islam dan kelas agama. Perhubungan antara rakyat juga menggunakan bahasa Melayu, termasuk di pusat-pusat perniagaan seperti Melaka, Pulau Pinang dan Singapura yang sebahagian besar penduduknya terdiri daripada orang Melayu.

Pada zaman penjajahan Inggeris di Tanah Melayu, khususnya ketika sebelum berlaku Perang Dunia Kedua, bahasa Melayu terus digunakan untuk tujuan urusan rasmi di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu. Pegawai-pegawai Inggeris yang bertugas di Negeri-Negeri Melayu sebelum Perang Dunia Kedua dikehendaki mempelajari bahasa Melayu dan mesti lulus dalam peperiksaan bahasa Melayu sebelum disahkan dalam jawatan.


Sebahagian daripada pegawai-pegawai itu terus menaruh minat yang tinggi terhadap Bahasa Melayu, sehingga dikenali sebagai sarjana bahasa Melayu. Antaranya ialah R.O. Winstedt, J.R. Wilkinson, C.C. Brown, W.E. Maxwell, W. Marsden, W.G. Shellabear dan J. Crawford.

Hanya selepas Perang Dunia Kedua kedudukan serta peranan bahasa Melayu mula terancam. Pegawai-pegawai Inggeris baru yang jahil terhadap bahasa Melayu membawa tekanan kepada kehidupan rakyat di negara ini, menerusi nilai-nilai baru yang diperkenalkan. Orang-orang Inggeris menjadi “tuan” dan segala yang bersangkutan dengan cara hidup mereka diberi nilaian yang tinggi termasuk bahasa mereka. Ini diperkukuhkan dengan dasar menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dalam sistem persekolahan. Dalam keadaan bahasa Melayu menerima tekanan, kesusasteraan Melayu terus dihasilkan, bukan oleh cendiakawan berpendidikan barat tetapi cerdik pandai lulusan sekolah Melayu atau Arab.Kemerosotan bahasa Melayu tidak berterusan. Pada awal abad ke-20, semangat kebangsaan bergema dan orang-orang Melayu mula mengorak langkah untuk memperjuangkan bahasa ibunda mereka. Wartawan, sasterawan, budayawan, guru-guru Melayu dan ahli-ahli politik berganding bahu memperjuangkan cita-cita ini. Akhbar dan majalah menjadi saluran utama untuk menyuarakan hasrat ini. Perjuangan bahasa Melayu digerakkan serentak dengan perjuangan politik membebaskan tanah air daripada penjajahan.

Akhirnya kejayaan tercapai dengan termaktubnya Artikel 152 dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu, yang menyebut bahawa “Bahasa Kebangsaan negara ini adalah bahasa Melayu dan hendaklah ditulis dalam apa-apa tulisan sebagaimana yang diperuntukan dengan undang-undang Parlimen”. Dengan perakuan ini, maka bermulalah era baru bagi bahasa Melayu, satu bahasa yang pernah menjadi lingua franca bagi seluruh Kepulauan Melayu.

No comments:

Post a Comment