Monday 13 August 2012

BUNYI BAHASA


Bunyi bahasa ialah bunyi yang terdapat di dalam apa juga bahasa di dunia ini. Dengan kata lain, bunyi bahasa ialah bunyi yang berfungsi dalam pertuturan. Bunyi-bunyi bukan bahasa ialah bunyi-bunyi bukan bahasa seperti batuk, bunyi orang berdehem, bunyi siulan, tiruan kepada bunyi-bunyi binatang, sendawa, mendengkur, bunyi orang kedinginan (menggigil) dan sebagainya.

Bunyi bersuara dan bunyi tidak bersuara ada kaitannya dengan keadaan pita suara. Sekiranya semasa udara keluar melalui pita suara, keadaan pita suara (atau khususnya glotis) itu agak rapat, akan berlakulah getaran dan bunyi yang terhasil adalah bunyi bersuara. Kalau keadaan glotis itu renggang atau terbuka, sewaktu udara keluar melaluinya tidak berlaku getaran dan bunyi yang terhasil adalah bunyi tidak bersuara. Udara dikeluarkan dari kedua-dua belah paru-paru melalui ruang tenggorok dan pita suara, kemudian masuk ke rongga tekak, seterusnya ke rongga mulut atau rongga hidung. Di dalam perjalanan keluar melalui rongga tekak dan rongga mulut, udara tersebut mungkin menerima gangguan atau sekatan daripada alat-alat artikulasi yang lain atau mungkin juga tidak.

Sekiranya semasa udara itu melintas pita suara yang tertutup rapat, udara terpaksa keluar secara terdesak, maka bunyi yang timbul ialah bunyi batuk. Kalau pita suara renggang sedikit, udara dapat keluar melaluinya menyebabkan ia bergetar, maka bunyi yang terhasil ialah bunyi bersuara. Apabila pita suara renggang udara boleh keluar dengan mudah dan pita suara tidak bergetar, maka bunyi yang terhasil adalah bunyi tidak bersuara. Udara yang keluar dari pita suara tadi akan memasuki rongga tekak dan dari sini, mungkin terus ke rongga hidung atau rongga mulut. Lelangit lembut atau anak tekak akan mengatur jalan udara ini sama ada ke rongga mulut atau rongga hidung. Kalau lelangit lembut dan anak ekak tidak menutupi ruang ke rongga hidung, udara akan keluar melalui hidung. Bunyi yang terhasil disebut bunyi sengau. Sekiranya ruang ke rongga hidung tertutup, udara keluar melalui rongga mulut dan bunyi yang terhasil bukanlah bunyi sengau. Selepas udara melepasi pita suara, ia bergerak pula ke rongga tekak. Dari rongga tekak, udara boleh keluar melalui rongga tekak (oral) atau rongga hidung (nasal).

Lelangit manusia terbahagi kepada dua. Di sebelah depan dinamakan lelangit keras dan di bahagian belakang, dikenali sebagai lelangit lembut. Bahagian hujung lelangit lembut dinamakan anak tekak. Lelangit lembut dan anak tekak boleh digerak-gerakkan. Apabila bunyi /a/ dikeluarkan, lelangit lembut dinaikkan hingga kena pada belakang tekak dan dengan itu menutup rongga hidung. Bunyi /a/ dikeluarkan melalui rongga oral. Oleh itu, /a/ ialah bunyi oral.

Bunyi nasal pula ialah bunyi yang dikeluarkan melalui rongga hidung. Lelangit lembut pada waktu itu diturunkan dan rongga oral ditutup dengan beberapa cara, antaranya dengan merapatkan dua bibir.

No comments:

Post a Comment