Sunday 12 August 2012

Sejarah Tulisan Jawi

Sejarah Perkembangan Tulisan Jawi

Tulisan jawi merupakan salah satu pengaruh Islam yang meresap ke alam Melayu serta sudah lama wujud di Nusantara. Terdahulu, tulisan jawi juga dikenali sebagai tulisan Melayu huruf Arab. Tulisan ini sampai ke alam Melayu bersama- sama dengan kedatangan agama Islam, yang dibawa oleh para pedagang Islam pada ketika itu. Tulisan Jawi juga merupakan tulisan rasmi bagi negara Brunei dan digunakan secara meluas di Malaysia, Filipina dan Indonesia. Tulisan ini telah berkembang sejak zaman pemerintahan Kerajaan Islam Pasai, kemudian tersebar secara meluas hingga ke Kerajaan Melaka, Kerajaan Johor dan juga Kerajaan Islam Acheh pada abad ke-17.Bukti kewujudan tulisan Jawi di Malaysia menjadi lebih kukuh apabila Batu Bersurat Terengganu telah dijumpai yang bertarikh 702H atau 1303M manakala tulisan Rumi yang paling awal ditemui pada pada akhir kurun ke-19. Hal ini menunjukkan bahawa tulisan Jawi telah sampai lebih awal berbanding tulisan Rumi. Tulisan Jawi juga telah menjadi tulisan rasmi di Negeri-negeri Melayu Bersekutu semasa penguasaan British ketika itu. Pada hari ini, tulisan warisan ini masih diguna pakai untuk hal ehwal Islam dan adat istiadat Melayu yang kebanyakannya digunakan di negeri Johor, Kedah, Kelantan, Perlis dan Terengganu.        Pada zaman dahulu, tulisan Jawi memainkan peranan penting dalam masyarakat. Tulisan ini juga digunakan sebagai perantara penting dalam semua urusan pentadbiran, adat istiadat dan perdagangan. Contohnya digunakan dalam  perjanjian-perjanjian penting antara pihak Raja Melayu dengan pihak-pihak berkuasa Portugis, Belanda dan Inggeris. Selain itu, Pemahsyuran Kemerdekaan 1957 bagi negara Malaysia antara lain juga tertulis dalam abjad Jawi.J.G de Casparis, seorang sarjana bahasa dari Belanda, dalam penemuannyaiaitu inskripsi tulisan Jawi pada batu nisan Makam Shaeikh Ahmad Majanu di Kota Kempas, Port Dickson, Negeri Sembilan telah menterjemahkan tulisan Jawi yang terdapat pada batu nisan tersebut. Penemuan beliau telah diperturunkan oleh Prof. Othman Mohd. Yatim untuk dijadikan bahan rujukan para ahli bahasa tempatan dan luar negara. Antara yang disebut dalam inskripsi tersebut ialah:               
“Bismillahirrahmanirrahim dara buta ata-mat Majanu berbawat daya/seda ahmat Pwan balat anak sadang Ahmad Majanu ma Malaga pada Allah""Dengan nama Allah yang maha Pengasih lagi Penyayang, makam ini kepunyaan Ahmad Majanu, wira yang berjuang, Ahmad gugur bersama-sama isteri Balat dan anak lelakinya. Semasa berjuang dan gugur."Selain itu, para ahli arkeologi telah menemui banyak artifak yang mempunyai tulisan Jawi. Hal ini telah mengukuhkan lagi tanggapan bahawa tulisan Jawi telah lama menapak di rantau ini berbanding tulisan Rumi. Antara penemuan itu ialah duit
syiling emas pada zaman pemerintahan Sultan Dhiauddin Mukarram Shah (1661 –
1687), iaitu ketika zaman kegemilangan pemerintahan Kerajaan Negeri Kedah.

Sejarah Penyempurnaan Sistem dan Ejaan Jawi

Tulisan Jawi merupakan satu elemen dan identiti kepada masyarakat Melayu  di rantau Nusantara ini. Berdasarkan fakta sejarah yang diperoleh, tulisan Jawi telah diguna pakai sebagai wacana persuratan, pendokumenan maklumat serta persetujuan perjanjian antara pemimpin tempatan dan luar dahulu. Oleh hal yang demikian, terdapat pelbagai prakarsa yang pragmatik diambil oleh kerajaan bagi memurnikan serta melestarikan lagi kualiti sistem tulisan dan ejaan Jawi, sejajar dengan perkembangan dunia masa kini.

Merujuk kepada catatan yang diwartakan oleh pihak Dewan Bahasa dan Pustaka, terdapat dua langkah yang diambil bagi menyempurnakan lagi sistem ejaan Jawi. Usaha ini diambil kira-kira dari tahun 1981 hingga 1989. Usaha tersebut pada mulanya dibuat oleh Pakatan Bahasa Melayu Persuratan Diraja Johor (P.Bm.P.B) yang menerbitkan sistem ejaan Jawi pada tahun 1937, serta usaha yang dibuat oleh Allahyarham Zainal Abidin bin Ahmad atau Za’ba pada tahun 1939. Tulisan jawi yang sedia dipakai dalam sektor pendidikan dan dalam pelbagai urursan sejak awal abad ini sehinggalah tahun 1986 dikenali sebagai Sistem Ejaan Jawi Za’ba yang diasaskan pada tahun 1939 pada ketika itu. Kemudian, usaha untuk meneliti dan menyempurnakan ejaan Jawi tidak berlaku sehingga akhir tahun 1970- an, kecuali oleh pihak swasta seperti Penerbit Majalah Dian.

Usaha murni bagi melestarikan lagi sistem ejaan dan tulisan Jawi ini mempunyai objektif dan tujuan yang tersendiri bagi mengelakkan warisan budaya Melayu ini daripada pupus dibawa arus pemodenan serta dihanyutkan gelombang globalisasi. Antara tujuan tersebut ialah untuk mewujudkan satu sistem tulisan dan ejaan Jawi yang dikemaskini sekaligus menyelaraskan pelbagai kaedah ejaan Jawi yang tidak seragam serta tidak selaras dalam penggunaannya sebelum tahun 1986.

Selain itu, penyempurnaan ini juga dilakukan untuk membaiki atau membetulkan beberapa kelemahan atau kekurangan yang terdapat dalam sistem ejaan Jawi lama yang sedang digunakan iaitu Sistem Ejaan Jawi Za’ba. Sehubungan dengan itu, usaha ini juga bertujuan untuk memodenkan sistem ejaan Jawi selaras dengan perkembangan ejaan Rumi. Hal ini bertujuan untuk meluaskan dan mempertingkatkan penggunaannya agar menjadi wahana penulisan bahasa Melayu moden, tanpa sebarang penghapusan ciri-ciri khusus sejarah dan budaya yang terkandung di dalamnya. Rentetan itu, penyempurnaan sistem ini juga bagi menghadapi perkembangan bahasa, bangsa dan negara dalam merealisasikan Wawasan 2020.

Pada tahun 1981, sebuah jawatankuasa telah ditubuhkan bagi mengkaji penggunaan bahasa Malaysia, terdiri daripada ahli yang telah dilantik oleh Menteri Pendidikan ketika itu . Jawatankuasa ini dikenali sebagai Jawatankuasa Mengkaji Penggunaan Bahasa Malaysia telah memperakukan supaya “Sistem Ejaan Jawi’ yang ada sedia ada sekarang hendaklah dikaji semula dan diperkemas. Antara kertas cadangan yang dibentangkan ketika itu ialah menerbitkan sebuah buku Daftar Ejaan Jawi-Rumi yang lengkap.

Ekoran daripada perbincangan itu, pihak Dewan Bahasa dan Pustaka telah melantik sebuah Jawatankuasa Mengkaji Semula Sistem Ejaan Jawi pada Februari 1983. Jawatankuasa ini dianggotai pakar-pakar sistem ejaan Jawi yang mewakili Pusat Perkembangan Kurikulum, Jawatankuasa Tetap Bahasa Malaysia dan institusi-institusi pengajian tinggi tempatan. Bidang tugas jawatankuasa ini ialah mengkaji semula Sistem Ejaan Jawi Za’ba iaitu Pelita Bahasa Melayu Penggal I tahun 1941.

Hasil kajian yang dilakukan Jawatankuasa Ejaan Jawi itu telah dibentangkan dalam Konvensyen Tulisan Jawi anjuran Yayasan Islam Terengganu dan Dewan Bahasa dan Pustaka yang telah diadakan pada 9 hingga 11 April 1984 di negeri tersebut. Konvensyen ini telah dihadiri 150 orang pakar mengenai ejaan Jawi termasuk yang fasih dalam bahasa Arab dan ahli agama Islam serta beberapa perwakilan rasmi dari negara Indonesia, Brunei Darussalam, Singapura dan Thailand. Cadangan tersebut telah diterima dengan baik oleh peserta konvensyen itu. Hasilnya telah dirumuskan dan disusun oleh Dewan Bahasa dan Pustaka sekitar tahun 1985 dan diterbitkan pada tahun 1986 dalam bentuk sebuah buku yang berjudul Pedoman Ejaan Jawi yang Disempurnakan.

Dengan berdasarkan buku tersebut, Dewan Bahasa dan Pustaka telah menyusun Daftar Ejaan Rumi-Jawi buat pertama kali diterbitkan pada tahun 1988. Senarai daftar kata masukan dan serapan adalah berdasarkan senarai kata masukan dalam buku Daftar Ejaan Rumi Bahasa Malaysia. Buku tersebut telah diterima dengan pelbagai reaksi dan pandangan oleh pengguna. Hal ini demikian kerana terdapat banyak kesalahan pengejaan kata. Beberapa orang pakar berpendapat bahawa daftar ini telah disemak semula dan diterbitkan untuk cetakan kedua pada tahun 1989. Dalam keluaran terbaru itu, terdapat beberapa pembetulan terhadap perkataan yang diceta salah atau kurang tepat pengejaannya dalam cetakan yang pertama, terutamanya perkataan pinjaman dan serapan daripada bahasa Arab
terhadap perkataan yang diceta salah atau kurang tepat pengejaannya dalam cetakan yang pertama, terutamanya perkataan pinjaman dan serapan daripada bahasa Arab.

1 comment:

  1. Assalamualaikum sya ingin bertnya . Bagaimnakah perkataan istiadat ditulis didalam bhasa jwi ?

    ReplyDelete