Tuesday, 14 August 2012

Pengenalan Tatabahasa



Tatabahasa adalah bidang yang menumpukan kepada pembentukan kata dan proses pembinaan ayat sesuatu bahasa (Nik Safiah Karim & Norlidza Shamsudin, 2008). Menurut Siti Hajar Hj. Abdul Aziz (1996) tatabahasa ialah peraturan-peraturan bagaimana sesuatu perkataan dibentuk dan bagaimana perkataan itu bergabung dengan perkataan-perkataan lain untuk menghasil ayat-ayat yang gramatis. Dengan kata lain, tatabahasa ialah rentetan ucapan, pengelompokan serta pengklasifikasian unsur-unsur ucapan menurut fungsinya.
Menurut Noam Chomsky, seorang ahli bahasa, tatabahasa ditakrifkan sebagai suatu kumpulan sistem yang harus dipatuhi oleh pengguna bahasa sesuatu bahasa itu, dan ia menjadi dasar untuk melahirkan asperasi bahasa yang baik dan indah, serta menjamin kemantapan bahasa sesuatu bahasa. Menurut Chomsky lagi, tatabahasa berfungsi dalam memisahkan bentuk-bentuk bahasa yang gramatis, daripada yang tidak gramatis. Tatabahasa berperanan untuk menghuraikan pemilihan pengguna bahasa itu untuk membina ayat-ayat yang baik. Oleh itu, dapatlah dinyatakan bahawa ia merupakan dasar yang menjadi pedoman dan pegangan dalam menentukan betul atau salah sesuatu bentuk bahasa pertuturan atau penulisan yang dihasilkan.
Menurut Robin (1971:172) pula menyatakan bahawa tatabahasa merupakan suatu yang menitik beratkan struktur uturan pertuturan atau penulisan dan dengan penggolongan serta pengkelasan unsur-unsur pertuturan yang berulang-ulang berdasarkan rumus-rumusnya.
Bagi A.Koutsaudas (1969:1) tatabahasa ditakrifkan sebagai suatu alat yang menggunakan untuk menghasilkan ayat-ayat yang betul yang tidak terbatas jumlahnya dalam sesuatu  bahasa dan tidak ada satupun yang salah.


Menurut  Tatabahasa Dewan, aspek tatabahasa menyentuh kepada dua sudut, iaitu melibatkan cara perkataan dibentuk daripada bunyi-bunyi bahasa dan cara perkataan disusun menjadi ayat. Huraian di peringkat perkataan disebut morfologi, manakala huraian di peringkat ayat disebut sintaksis.
Dapat dirumuskan bahawa tatabahasa merupakan suatu teori bahasa yang harus disusun dengan tepat, lengkap, dan mudah difahami. Ianya dapat dihuraikan dengan jelas tentang kebolehan bahasa disusun dan digunakan oleh penutur natif sesuatu bahasa. Tatabahasa sesuatu bahasa itu mengandungi tiga bidang utama, iaitu sintaksis, semantik dan fonologi. Tatabahasa menjadi suatu dasar dalam menyusun sesuatu ayat dengan betul.
            Tatabahasa juga boleh dilihat sebagai teori tentang peraturan yang menghuraikan ayat-ayat dalam sesuatu bahasa dengan kaedah yang paling mudah, tepat, dan lengkap. Tinjauan dalam bidang tatabahasa dilakukan dalam dua segi iaitu dari segi cara perkataan dibentuk daripada bunyi-bunyi bahasa (morfologi) dari segi  perkataan-perkataan disusun menjadi ayat (sintaksis).

No comments:

Post a Comment