Monday 13 August 2012

CARA-CARA UNTUK MELAHIRKAN INSAN YANG BERAKHLAK MULIA



        Akhlak sepertimana yang telah diberitahu oleh Imam Al-Ghazali (m. 505H.) bahawa ianya terbahagi kepada dua jenis iaitu akhlak mahmudah iaitu terpuji dan akhlak mazmumah iaitu sifat yang tercela disisi Allah. Oleh sebab itu, berakhlak mulia amatlah penting untuk diamalkan oleh umat islam kerana penghayatan kepada keperibadian yang baik akan membawa kesan yang baik kepada individu, masyarakat dan negara.

   Berpegang kepada Al-Quran dan As-Sunnah

     Jasad yang tidak ada roh, maka tidak akan bernyawalah manusia itu. Begitu juga dengan seseorang yang beragama islam itu dimana akhlak adalah roh kepada agama islam yang ada padanya. Pada zaman jahiliyyah di mana manusia berada dalam kesesatan walaupun telahpun didakwah oleh para nabi dan rasul ke jalan yang benar, mereka telah melakukan pelbagai kerosakan dan kemaksiatan di atas muka bumi ini hasil daripada godaan syaitan dan dorongan nafsu yang tidak dikawal dengan baik.Membunuh anak perempuan sendiri, menyembah patung berhala yang dibaut sendiri, menindas dan memulau kaum yang rendah martabatnya adalah contoh kepada kerosakan akhlak yang berlaku pada manusia zaman tersebut.

      Justeru itu, Allah telah mengutuskan para nabi dan rasulnya di atas dasar untuk membawa agama islam di atas muka bumi ini sejurus membetulkan akhlak manusia yang telah rosak disesatkan oleh syaitan yang durjana. Di dalam ayat- ayat Allah banyak berunsurkan peringatan dan juga kecaman bagi memberi panduan kepada ummat manusia. Allah memberi contoh pengabaian kepada berakhlak mulia boleh mengulang kembali kerosakan di atas muka bumi ini seperti umat nabi-nabi terdahulu yang telah diazab dengan dengan azab yang pedih oleh Allah atas perbuatan mereka yang didorong oleh akhlak mereka yang tercela.

     Dengan berpegang kepada Al-Quran dan As-Sunnah akan membantu manusia menjadi insan yang berkahlak mulia kerana segala contoh berada di dalam dua rujukan ini.

 Cintakan syurga, takutkan neraka.

         Manusia adalah antara makhluk Allah yang akan dihisab kelak apabila tiba hari kiamat nanti. Sepertimana manusia menilai manusia yang lain dengan usaha dan akhlak, begitu juga dengan Allah yang membuat penilaian ke atas manusia pada hari kiamat kelak dengan menilai setakat mana keperibadian dan akhlak manusia sepanjang mereka hidup di atas muka bumi ini. Dengan dakwah-dakwah yang telah disebarkan oleh para rasulnya, Allah sudah menjanjikan kepada hambanya yang beriman dan berakhlak manusia dengan balasan syurga yang tidak terkira nikmatnya.

Itu boleh dibuktikan melalui Sabda Rasulullah saw yang bermaksud :"Tiada sesuatu yang lebih berat dalam daun timbangan melainkan akhlak yang baik." Dengan beratnya timbangan kebaikan kita dengan akhlak yang baik, itulah yang dapat menjanjikan syurga kepada manusia seluruhnya. Namun begitu, api neraka Allah tidak akan teragak-agak untuk menyeksa hamba-hamba Allah yang ingkar pada perintah Allah dengan mengamalkan sifat-sifat mazmumah iaitu akhlak yang tercela disisi Allah.

 Sentiasa meningkatkan iman.

          Setiap manusia yang hidup di atas muka bumi Allah ini mempunyai nilai iman yang berlainan bergantung kepada amalan dan akhlak muslim dan mukmin yang mereka kerjakan dalam seharian. Sebagai hamba Allah yang lemah, manusia sepatutnya cuba mencari dan mendapatkan keimanan yang paling tinggi kepada Allah. Salah satu daripada cara untuk menilai tingkatan iman yang ada pada seseorang ialah pada akhlaknya.

Hal ini sejajar dengan sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud: “Siapakah orang mukmin yang paling baik imannya? Jawab Rasulullah: Ialah orang yang paling baik akhlaknya.”(HR. Imam Ahmad).Ini membuktikan bahawa akhlak adalah amat penting kepada individu muslim itu sendiri. Tanpa penghayatan yang lengkap dengan ajaran islam yang mengajar tentang kemuliaan akhlak dan keimanan, maka sukarlah untuk terbentuk akhlak yang baik dan diredhai Allah dalam sesuatu individu itu.

Menganggap kita adalah “ Duta Islam”

        Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud: “Apakah al-Din itu wahai Rasulullah?Al-Din itu ialah akhlak yang baik”. Dalam hadis ini, Allah telah menekankan kepada umat manusia supaya berakhlak yang mulia kerana akhlak itu sendiri adalah cerminan pada agama kita. Islam itu bukanlah semata-mata agama ataupun ajaran, namun ianya adalah panduan hidup dan cara hidup yang telah diberitahu oleh allah melalui para rasulnya kepada manusia. Hanya dengan akhlah baik sahajalah yang akan menunjukkan bahawa agama yang ada pada seseorang itu adalah agama islam yang sebenar-benarnya dan mengamalkan kesemua arahan dan meninggalkan larangan Allah. Tanpa akhlak, tiadalah islam pada seseorang itu dan tanpa islam, maka kufurlah manusia itu kepada Allah.

 Meniru akhlak dan Sunnah Nabi Muhammad S.A.W

    Manusia yang hidup pada zaman sekarang adalah umat kepada Nabi Muhammad S.A.W dan sudah tiada lagi nabi dan rasul selepasnya kerana bagindalah rasul dan nabi akhir zaman. Justeru itu, Allah telah berjaya mendidik Rasulullah dengan akhlak yang paling mulia dan lengkap supaya umat manusia selepasnya akan mencontohi baginda sebagai sebaik-baik contoh kepada akhlak yang mulia disisi Allah sepertimana hadis dari Anas menyatakan: “Nabi S.A.W adalah manusia dengan akhlak yang terbaik.” (HR. Muslim dan Abu Daud).

Dalil ini juga dapat dikuatkan lagi dengan hadis yang lain iaitu: “Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.”(HR. Bukhari). Allah juga telah menunjukkan bukti yang nyata bahawa baginda Rasulullah adalah contoh ikutan yang terbaik kepada manusia sepertimana firmannya dalam ayat 21, Surah Al-Ahzab:
“Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (yaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah”
            Oleh sebab itu, sudah tidak ada lagi sebab yang lain bagi manusia untuk tidak berakhlak mulia kerana sudah tidak ada lagi manusia yang mempunyai akhlak yang paling agung dikalangan manusia melainkan Nabi Muhammad S.A.W sepertimana disebut oleh Allah dalam Al-Quran di dalam ayat keempat Surah Al-Qalam yang bermaksud: “Dan sesungguhnya kamu benar-benar berbudi pekerti yang agung”. Tanpa pengamalan akhlak mulia yang ditonjolkan oleh Nabi Muhammad, maka amat mudahlah bagi manusia untuk melakukan maksiat dan kerosakan di atas muka bumi Allah ini.

   Menganggap akhlak juga merupakan ibadah.   
       
     Akhlak dan ibadah adalah perkara yang amat berkait rapat antara satu sama lain. Ibadah mungkin ditafsirkan oleh manusia pada zaman sekarang sebagai amalan-amalan agama seperti solat dan puasa, namun isi kandungan dan penghayatan kepada ibadah itu sendiri tidak diambil endah dan tidak dititikberatkan.Sebenarnya akhlak adalah buah kepada ibadah.Ini dapat dilihat dalam firman Allah dalam Surah Al- Ankabut, ayat 45 yang bermaksud:

Bacalah apa yang telah diwahyukan kepadamu, yaitu al kitab (al qur'an) dan dirikanlah salat.sesungguhnya salat itu mencegah dari (perbuatan-perbuatan) keji dan mungkar. Dan sesungguhnya mengingat allah (salat) adalah lebih besar (keutamaannya dari ibadah-ibadah yang lain). Dan allah mengetahui apa yang kamu kerjakan.”


            Menerusi ayat ini, kesinambungan antara ibadah dan akhlak dapat dilihat dimana Allah telah mengatakan bahawa dengan menunaikan solat, ia akan dapat mencegah manusia daripada melakukan kemungkaran dan maksiat. Ini terbukti bahawa hanya dengan ibadah sahajalah yang akan membuahkan akhlak yang baik sepertimana akhlak Rasulullah S. A.W.
           
Pengabdian hamba kepada Pencipta.

             Sebagai hamba kepada tuan kita semestinya ingin memberikan khidmat yang terbaik kepada tuan kita agar mendapat ganjaran yang setimpal dengan perkidmatan kita. Begitu jugalah kita perlu berkhidmat kepada Tuan kita iaitu Allah. Rasulullah S.A.W menasihati sahabatnya, baginda membandingkan antara nasihat untuk bertaqwa dengan nasihat untuk bergaul dan berakhlak yang baik kepada manusia sebagaimana hadits daripada abi dzar, ia berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda : “Bertaqwalah kepada allah dimanapun engkau berada dan balaslah perbuatan buruk dengan perbuatan baik niscaya kebaikan itu akan menutupi kejelekan dan bergaullah dengan manusia dengan akhlak yang baik.” (HR Tirmidzi, hadis hasan, dan disahihkan oleh syaikh Al Salim Al Hilali).

             Dalam timbangan (mizan) amal pada hari kiamat tidak ada yang lebih berat daripada pada akhlak yang baik, sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W: 
“ sesuatu yang paling berat dalam mizan (timbangan seorang hamba) adalah akhlak yang baik.” (HR. Abu Daud dan Ahmad, disahihkan Al Bani. Lihat ash Shahihah Juz 2 hal 535).

            Oleh itu, berakhlak juga merupakan sifat taqwa kepada pencipta iaitu takut dengan ertikata cintakan Allah untuk berkhidmat kepadan Nya.

2 comments: