Monday 13 August 2012

Konsep dan Takrif Bahasa

          PENGENALAN
Bahasa yang dihasilkan melalui alat artikulasi manusia disebut pertuturan, kalimat atau ujaran, iaitu satu sistem bunyi yang teratur atau percantuman bunyi yang hadir secara berulang-ulang atau berurutan. Bahasa berasal daripada bunyi-bunyi yang disebut bunyi-bunyi bahasa. Menurut Penalosa ( dalam buku Siti Hajar Hj. Abdul Aziz, 2008: 87) bahasa bertindak melalui dua bentuk. Pertama, ia melibatkan bunyi-bunyi bahasa yang dihasilkan melalui alat ujaran manusia. Kedua, meransang pemikiran, situasi sosial dan makna.

Kajian bunyi terbahagi kepada dua bidang, iaitu fonetik dan fonologi. Fonologi ialah kajian tentang sistem bunyi bahasa yang berkaitan senarai bunyi bahasa dan ciri-ciri bunyi tersebut serta peraturan khusus yang menjelaskan cara bunyi-bunyi tersebut berhubung antara satu sama lain. Tugas bidang fonologi ialah merumuskan, menghuraikan dan menjelaskan segala bentuk bunyi dalam sesuatu bahasa secara terperinci.
Fonetik artikulasi mengkaji cara bunyi- bunyi bahasa dihasilkan oleh manusia dengan menggunakan alat tutur. Fonetik akustik mengkaji gelombang bunyi dan cara gelombang tersebut mencapai pendengaran manusia. Fonetik auditori mengkaji cara otak memproses bunyi yang diterima melalui telinga dan cara bunyi- bunyi tersebut diinterprestasikan.

KONSEP DAN TAKRIF BAHASA

 Bahasa boleh didefinisikan dalam pelbagai cara mengikut sifat-sifat semula jadi bahasa, peranan dan fungsinya. Namun demikian, kebanyakan ahli bahasa dan ahli linguistik telah memberikan konsep dan takrif bahasa yang hampir sama. Bahasa boleh diertikan sebagai satu sistem bunyi yang terdiri daripada alat-alat artikulasi yang ada pada mereka. Lambang-lambang yang diujarkan itu mempunyai makna-makna tertentu berdasarkan lingkungan masyarakat yang menuturkannya. Dalam setiap kegiatan manusia, bahasa memainkan peranan dan fungsi untuk memenuhi pelbagai tujuan dan matlamat tertentu. Antara fungsi bahasa yang amat ketara ialah peranannya sebagai alat untuk membantu manusia menyampaikan percakapan, buah fikiran dan maklumat kepada orang lain.

Bloch dan Trager (1942), mendefinisikan bahasa sebagai sistem lambang-lambang vokal yang digunakan oleh manusia untuk berkomunikasi. Proses komunikasi bahasa berlaku apabila adanya penutur dan pendengar. Menurut Chomsky (1957). Setiap penutur dan pendengar mempunyai dua perkara penting iaitu kecekapan bahasa dan pengucapan bahasa. Kecekapan bahasa berada dalam otak manusia dan ia diertikan sebagai satu sistem rumus bahasa yang mampu menghasilkan kalimat yang tidak terbatas banyaknya.

Dari segi pragmatik, ahli-ahli linguistik bersetuju bahawa bahasa merupakan satu sistem yang menghubungkan maksud kepada bunyi, sama ada berdasarkan aksi penutur atau pendengar. Dengan andaian bahawa manusia mempunyai beberapa makna yang hendak disampaikan, dia mengucapkan bunyi-bunyi dengan tepat. Orang yang mendengar bunyi-bunyi tersebut akan cuba memberikan makna kepada ujaran yang dilafazkan oleh penutur.

KONSEP BAHASA

Bahasa merupakan satu sistem ujaran dan tulisan konvensional yang digunakan oleh manusia untuk berkongsi budaya dan berkomunikasi antara satu sama lain. Bahasa dapat menggambarkan dan memberikan kesan terhadap cara berfikir serta perubahan dan perkembangan budaya. Sesuatu bahasa itu akan menjadi semakin berbeza jika penuturnya terasing daripada penutur bahasa yang lain. Sebaliknya, jika sesuatu bahasa itu sentiasa dikomunikasikan, misalnya digunakan dalam urusan perdagangan, bahasa tersebut boleh mempengaruhi pengguna bahasa yang lain.

Kebanyakan bahasa yang ada pada hari ini adalah sekeluarga dengan bahasa yang lain, iaitu berasal daripada satu rumpun bahasa yang lebih besar. Sebagai contoh, semua bahasa Romawi berasal daripada bahasa Latin yang merupakan cabang kepada bahasa Indo-Eropah. Hubungan antara satu bahasa dengan bahasa yang lain ditentukan dengan membandingkan tatabahasa dan sintaksis, terutama dengan melihat bentuk-bentuk yang sama sifatnya atau perkataan yang sama.

Bahasa mempunyai struktur yang kompleks, tetapi boleh dianalisis dan diperlihatkan secara sistematik. Semua bahasa bermula dengan bahasa lisan, beberapa lama sebelum wujudnya sistem bahasa tulisan. Bahasa mengandungi sturktur ayat yang berbeza-beza untuk menyampaikan makna. Kandungan bahasa terdiri daripada bentuk dan susunan perkataan, struktur sintaksis dan intonasi ujaran.
KONSEP DAN TAKRIF BAHASA MENGIKUT KAMUS

Terdapat konsep dan takrif bahasa yang dipetik daripada beberapa naskhah  kamus seperti berikut:
 (a) The American Heritage Science Dictionary
Bahasa ialah satu sistem objek atau simbol seperti bunyi atau sesuatu huruf yang berurutan yang boleh digabungkan dengan berbagai-bagai cara dengan mematuhi peraturan tertentu, terutamanya untuk melahirkan pemikiran, perasaan dan memberikan arahan.
 (b) The American Heritage Dictionary
Bahasa merupakan alat komunikasi bagi menyampaikan pemikiran dan perasaan melalui sistem tanda yang arbitrari seperti bunyi, gerak isyarat atau simbol-simbol tulisan. Bahasa merupakan satu sistem yang mengandungi peraturan-peraturan tertentu yang menggabungkan komponen seperti perkataan. Bahasa merupakan satu sistem yang digunakan oleh masyarakat atau komuniti yang berbeza untuk berinteraksi.
 (c) Oxford University Press (Language Software)
Bahasa merupakan salah satu cara terbaik untuk mengklasifikasikan manusia kepada suku atau etnik tertentu. Cara ini juga pernah digunakan pada zaman dahulu untuk menentukan asal usul manusia dan pengelompokan manusia kepada kaum-kaum tertentu. Walaupun kaedah ini masih boleh digunakan, tetapi pada hari ini terdapat cara baharu untuk mengetahui asal usul, keturunan dan genetik manusia melalui sains dan teknologi yang lebih canggih.
 (d) Etymology Dictionary
Bahasa terdiri daripada makna sistematik yang dikomunikasikan melalui penggunaan bunyi-bunyi atau tanda-tanda konvensional. Bahasa terdiri daripada ujaran perkataan daripada mulut atau teks yang bertulis. Bahasa melibatkan proses kognitif dalam menghasilkan dan memahami bunyi dan sistem tanda linguistik.
 KONSEP DAN TAKRIF BAHASA MENURUT AHLI BAHASA 
 
Konsep dan takrif bahasa yang diberikan oleh beberapa orang ahli bahasa dan ahli linguistik yang terkemuka sdalah seperti berikut:
  (a) Edward Sapir ( 1921 )
Bahasa selalu digunakan oleh manusia danmerupakan kaedah yang digunakan untuk    menyampaikan idea, perasaan dan keinginan  
 (b) G. Trager ( 1949 )
Bahasa ialah satu sistem lambang vokal yang   arbitrari  dan bermakna yang digunakan oleh anggota
 (c) Noam Chomsky (1957)
Bahasa ialah set ayat, sama ada terbatas atau  tidak  dan setiap ayat yang terbatas panjangnya dibina oleh satu set elemen  yang terbatas juga.
(d) R.A. Hall (1964)
Bahasa merupakan institusi yang membolehkan manusia    berkomunikasi dan berhubung antara satu sama lain yang  mengandungi makna dan  menggunakan lambang-lambang arbitrari  lisan-pendengaran
 (e) Michael Halliday (1973 )
Bahasa ialah satu urutan kemungkinan dan     pilihan   tingkah laku yang bersesuaian dengan individu sebagai manusia yang  bersosialisasi.
Bahasa selalu digunakan oleh manusia danmerupakan kaedah yang digunakan untuk    menyampaikan idea, perasaan dan keinginan  

1 comment: