Bunyi bahasa
ialah bunyi yang terdapat di dalam apa juga bahasa di dunia ini. Dengan kata
lain, bunyi bahasa ialah bunyi yang berfungsi dalam pertuturan. Bunyi-bunyi
bukan bahasa ialah bunyi-bunyi bukan bahasa seperti batuk, bunyi orang
berdehem, bunyi siulan, tiruan kepada bunyi-bunyi binatang, sendawa,
mendengkur, bunyi orang kedinginan (menggigil) dan sebagainya.
Bunyi bersuara
dan bunyi tidak bersuara ada kaitannya dengan keadaan pita suara. Sekiranya
semasa udara keluar melalui pita suara, keadaan pita suara (atau khususnya
glotis) itu agak rapat, akan berlakulah getaran dan bunyi yang terhasil adalah
bunyi bersuara. Kalau keadaan glotis itu renggang atau terbuka, sewaktu udara
keluar melaluinya tidak berlaku getaran dan bunyi yang terhasil adalah bunyi
tidak bersuara. Udara dikeluarkan dari kedua-dua belah paru-paru melalui ruang
tenggorok dan pita suara, kemudian masuk ke rongga tekak, seterusnya ke rongga
mulut atau rongga hidung. Di dalam perjalanan keluar melalui rongga tekak dan
rongga mulut, udara tersebut mungkin menerima gangguan atau sekatan daripada
alat-alat artikulasi yang lain atau mungkin juga tidak.
Sekiranya
semasa udara itu melintas pita suara yang tertutup rapat, udara terpaksa keluar
secara terdesak, maka bunyi yang timbul ialah bunyi batuk. Kalau pita suara
renggang sedikit, udara dapat keluar melaluinya menyebabkan ia bergetar, maka
bunyi yang terhasil ialah bunyi bersuara. Apabila pita suara renggang udara
boleh keluar dengan mudah dan pita suara tidak bergetar, maka bunyi yang
terhasil adalah bunyi tidak bersuara. Udara yang keluar dari pita suara tadi
akan memasuki rongga tekak dan dari sini, mungkin terus ke rongga hidung atau
rongga mulut. Lelangit lembut atau anak tekak akan mengatur jalan udara ini
sama ada ke rongga mulut atau rongga hidung. Kalau lelangit lembut dan anak
ekak tidak menutupi ruang ke rongga hidung, udara akan keluar melalui hidung.
Bunyi yang terhasil disebut bunyi sengau. Sekiranya ruang ke rongga
hidung tertutup, udara keluar melalui rongga mulut dan bunyi yang terhasil
bukanlah bunyi sengau. Selepas udara melepasi pita suara, ia bergerak pula ke
rongga tekak. Dari rongga tekak, udara boleh keluar melalui rongga tekak
(oral) atau rongga hidung (nasal).
Lelangit
manusia terbahagi kepada dua. Di sebelah depan dinamakan lelangit keras dan
di bahagian belakang, dikenali sebagai lelangit lembut. Bahagian hujung
lelangit lembut dinamakan anak tekak. Lelangit lembut dan anak tekak boleh
digerak-gerakkan. Apabila bunyi /a/ dikeluarkan, lelangit lembut
dinaikkan hingga kena pada belakang tekak dan dengan itu menutup rongga hidung.
Bunyi /a/ dikeluarkan melalui rongga oral. Oleh itu, /a/ ialah
bunyi oral.
Bunyi nasal
pula ialah bunyi yang dikeluarkan melalui rongga hidung. Lelangit lembut pada
waktu itu diturunkan dan rongga oral ditutup dengan beberapa cara, antaranya
dengan merapatkan dua bibir.
No comments:
Post a Comment