Manusia merupakan mahkluk yang telah diciptakan oleh
Allah dengan satu kelebihan yang membezakan ia dengan mahkluk lain di alam ini
iaitu akal. Makhluk seperti tumbuh-tumbuhan dan haiwan tidak mempunyai akal.
Akal ini merupakan satu-satunya perkara yang membezakan kita dengan makhluk
lain walaupun kita dengan haiwan mempunyai persamaan iaitu mempunyai otak.
Hal ini kerana dengan akal inilah kita dapat membuat
penilaian sama ada setiap perkara dan perbuatan yang kita lakukan di atas muka
bumi ini adalah perkara yang baik ataupun buruk. Manusia yang waras adalah
mereka yang mampu mengawal akal mereka dengan membuat pertimbangan yang baik
seterusnya menzahirkan akhlak yang baik. Oleh sebab itulah, Allah telah mengutuskan
rasulnya iaitu Nabi Muhammad S.A.W sebagai panduan dan pedoman hidup manusia
sebagaimana telah disebutkan oleh Allah dalam Al-Quran menerusi Surah Al-Ahzab,
ayat 21:
"Demi sesungguhnya,
adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh
ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah
dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah
banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)".(Surah Al-Ahzab : 21)
Ayat ini
memberitahu kita bahawa baginda Rasulullah S.A.W adalah contoh ikutan terbaik
bagi menghasilkan umat islam yang berakhlak mulia. Akhlak yang mulia ini
perlulah ada pada semua orang termasuk guru dan murid itu sendiri. Guru
sepertimana para ulama pada zaman dahulu adalah pembimbing dan pendidik yang
menentukan arah kehidupan dan hala tuju seseorang itu. Justeru itu, amatlah
ditikberatkan kepada guru untuk memiliki akhlak islamiah yang terbaik agar
dapat menjadi contoh ikutan yang baik bagi para penuntut ilmu sepertimana Rasulullah
menjadi contoh ikutan para sahabat dan umat islam yang lain.
Akhlak berasal daripada perkataan arab iaitu jama’ kepada
perkataan khuluqun (خلق) yang
bermaksud budi pekerti, perangai, sikap dan tabiat. Dari segi istilah menurut Kamus Dewan, akhlak bermaksud budi
pekerti, kelakuan, watak, pengetahuan berkaitan dengan kelakuan dan tingkah
laku manusia samada baik ataupun jahat. Mengikut Mafhum kata-kata Aishah yang
dirumus dari sabda Nabi Muhammad s.a.w berkaitan akhlak Baginda:
Seterusnya mengikut Istilah akhlak adalah segala tingkah
laku perbuatan yang telah menjadi adat kebiasaan, apabila dilakukan tidak perlu
lagi berfikir panjang setelah tingkah laku diamalkan sekian lama dan diterima
masyarakat sebagai sebahagian dari cara hidup Menurut Islam pula ia beerti satu
sifat atau sikap keperibadian yang melahirkan tingkah laku perbuatan manusia
dalam usaha membentuk kehidupan yang sempurna berdasarkan kepada
prinsip-prinsip yang telah ditetapkan oleh Allah“.
Seperti
yang terdapat dalam karangan buku Ihya Ulum Al-Din oleh Imam Al-Ghazali
(m. 505H.), beliau telah menulis bahawa akhlak adalah perbuatan dan sifat yang
tertanam di dalam jiwa seseorang yang mana darinya muncul perbuatan dengan
mudah tanpa memerlukan pertimbangan fikiran terlebih dahulu akan perbuatan yang
mahu dilakukan itu. Dengan kata lain, kita sendiri tidak mudah untuk menyedari akan
akhlak kita kerana ianya hanya dapat dilihat dalam setiap gerak geri dan
perbuatan yang kita lakukan dalam seharian tanpa kita sedari dan mungkin dapat
disedari oleh manusia yang lain.
Hal ini bermaksud ia adalah bukan lakonan yang
dibuat-buat oleh kita kerana akhlak adalah cermin kepada jiwa kita yang samada
dikawal oleh iman ataupun godaan syaitan. Imam Al-Ghazali (m. 505H.) juga
berpendapat bahawasanya akhlak terbahagi kepada dua iaitu akhlak yang baik dan
buruk. Perbuatan yang baik dan diiktiraf oleh akal dan syarak adalah dikira
perbuatan yang baik manakala perbuatan yang jahat dinamakan akhlak yang buruk dan
keji.
Selain
daripada itu, Ibn Miskawayh (m. 412H.) menerusi Zakaria Stapa di dalam
kitabnya, Tahdhib al-Akhlaq, berpendapat bahawa akhlak adalah keadaan
suatu jiwa samada bersifat tabii atapun keadaan jiwa yang dibentuk melalui
latihan dan kebiasaan yang mana menyebabkan seseorang itu melakukan sesuatu
perbuatan tanpa membuat apa-apa pertimbangan fikiran terlebih dahulu. Berbanding
dengan Imam Al-Ghazali, Imam Maskawayh berpendapat bahawa akhlak adalah
perbuatan yang terhasil daripada perkara yang telah menjadi kebiasaan dalam
kehidupan yang tidak memerlukan pertimbangan pemikiran sebelum dilakukan
perbuatan tersebut.
Pendapat
beliau juga telah disokong oleh Prof Dr Ahmad Amin dimana beliau mengatakan
bahawasanya akhlak terhasil daripada kehendak manusia yang telah terbiasa
dilakukan oleh manusia. Dengan kehendak manusia terhadap sesuatu yang tinggi
ditambah pula dengan perbuatan itu kerap dilakukan, maka akan tertonjollah
akhlak mereka tanpa mereka sedari akannya. Justeru itu, dapatlah disingkapkan
disini bahawa akhlak adalah perbuatan manusia yang tidak berkaitan dengan
pertimbangan pemikiran tapi lebih kepada perbuatan yang terbiasa dilakukan lalu
didorong pula dengan kehendak manusia terhadap sesuatu.
Moral pula ialah tingkah laku yang telah ditentukan oleh
etika. Tingkah laku yang telah ditentukan oleh etika sama ada baik atau buruk
dinamakan moral. Moral terbahagi kepada dua iaitu :
Baik; segala tingkah laku yang dikenal pasti oleh etika
sebagai baik.
Buruk; tingkah laku yang dikenal pasti oleh etika sebagai
buruk.
Kemoralan merupakan sesuatu yang berkait dengan
peraturan-peraturan masyarakat yang diwujudkan di luar kawalan individu. Dorothy
Emmet(1979) mengatakan bahawa manusia bergantung kepada tatasusila, adat,
kebiasaan masyarakat dan agama bagi membantu menilai tingkahlaku seseorang
Akhlak dalam Islam menjadi penghubung yang erat dengan fenomena keimanan
seseorang Islam.
Sebagaimana maksud hadis :
Rasulullah telah ditanya
oleh seseorang: “Siapakah orang mukmin yang paling afdhal mempunyai kelebihan
imannya? Jawab baginda: Orang yang paling baik akhlaknya”.
Terdapat beberapa hadis yang ada kaitan dengan kenyataan
akhlak Islam. Maksud Hadis: “Apakah ad-din itu rasulullah? Ad-din itu ialah akhlak yang baik”.
No comments:
Post a Comment